" ILMU PELITA HIDUP"

SELAMAT DATANG KE BLOG SEKOLAH KEBANGSAAN SUNGAI NANGKA, BELURAN SABAH

5/12/2011

Sempena Hari Guru - Penghormatan kepada guru - Antara kebenaran dan kepalsuan


Tahun ini, konsep Pesta Hari Guru 2011 ialah 1Pendidikan 1Malaysia. Ia akan diadakan bersempena Sambutan Hari Guru Kebangsaan dari 13 Mei ke 16 Mei di Kuching Waterfront, Sarawak. Tema sambutan tahun ini ialah :

”GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

Tahun lepas, sambutan sedemikian diadakan di Universiti Malaysia Pahang (UMP).
Saya ingin kongsi artikel yang ditulis oleh Saudara Zainuddin Hashim

Ditulis oleh Zainudin Hashim
FRIDAY, 16 Mei 2008 20:27
Guru merupakan insan mulia kerana menurunkan ilmu kepada anak-anak muridnya dengan sepenuh hati, walau bagaimanapun keberkesanan penyampaian ilmu bergantung kepada sejauh mana kesungguhan dan niatnya yang baik.

Islam sentiasa memberi panduan kepada para guru agar memperkasa dan memperbaiki diri agar menjadi golongan pendidik yang betul-betul memenuhi tuntutan seperti yang difirmankan oleh Allah SWT menerusi ayat 122 surah at-Taubah yang bermaksud : Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan (di kalangan umat Islam) di antara mereka beberapa orang untuk memperdalami pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya (masyarakat) apabila mereka telah kembali kempangkuan mereka, supaya mereka (masyarakat) itu lebih berwaspada.

Berdasarkan ayat di atas, Allah SWT menekankan dua perkara utama kepada golongan guru (yang menunutut ilmu) bagi mencapai keberkesanan penggarapan ilmu yang dipelajari:

  1. Arahan Allah untuk memperdalami dan bukannya kekadar belajar.
  2. Arahan Allah selepas proses penggarapan ilmu, menyedarkan masyarakatnya dengan memberi peringatan dan bukannya mengajar.

Kedua-dua konsep itulah yang meletakkan seseorang yang menuntut ilmu itu mencapai status pendidik iaitu satu kedudukan yang lebih tinggi daripada seorang guru.

Ini kerana, pendidik bukan sekadar mengajar atau mencurahan ilmu kepada pelajarnya, malah memastikan para pelajarnya benar-benar mempraktikkan segala ilmu yang digarap, di tambah pula peranan pendidik mampu menjiwai permasalahan yang dihadapi oleh pelajarnya serta mengadakan program susulan jangka panjang (long term follow up planning).

Berbeza dengan tugas seorang guru, kerana ada di antara mereka hanya sekadar mengajar dan mungkin juga tidak mempedulikan aspek program susulan, baginya yang penting mereka telah menyampaikan ilmu, tetapi sebenarnya keberkesanan sesuatu ilmu itu bergantung kepada lima perkara untuk mencapai status pendidik yang berdedikasi dan komited terhadap kerjayanya seperti yang pernah dilontarkan persoalan ini oleh Syeikh Prof dr Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya yang bertajuk "Rasul dan ilmu pengetahuan".

Di mana beliau ada menegaskan, bahawa apabila seorang pendidik itu mampu merealisasikan lima perkara berikut, nescaya dia melonjakkan kedudukan sebagai pendidik atau pewaris nabi-nabi, lima perkara itu adalah seperti berikut :

  1. Perasaan tanggungjawab terhadap agama, pelajar, masyarakat dan negara.
  2. Amanah keilmuan yang digarap, dalam erti kata, dia akan mengharamkan apa yang diharamkan Allah dan menghalalkan apa yang dihalalkan oleh Allah, bukan sebaliknya, kerana ia adalah satu amanah yang besar yang akan disoal di akhirat nanti.
  3. Mengembalikan 'Izzah (kemuliaan) Islam yang dicerobohi oleh tangan-tangan pengkhianat dan perosak Islam dengan meletakkannya di tempat yang paling tinggi dalam kehidupan masyarakat.
  4. Ada perasaan tawadu' (rendah diri) terhadap orang lain.
  5. Beramal dengan kesesuaian ilmu yang digarap, dalam erti kata tidak menyanggah tindakan dengan penghayatan ilmu.

Sehubungan itu baginda Rasulullah s.a.w ada bertanya kepada Malaikat Jibril, berhubung siapakah golongan pendidik (ahli ilmu sebenar)?, Jibril menjawab : Sesungguhnya mereka ibarat pelana umatmu di dunia dan akhirat, beruntunglah mereka yang mengenali dan menghormati mereka dan nerakalah bagi mereka yang membenci serta menyanggah mereka (ahli ilmu/pendidik).

Konsep penghormatan kepada golongan pendidik

Jelas daripada hadis di atas, baginda telah menggariskan satu tindakan yang berkesan bagi meletakkan penghormatan sewajarnya kepada mereka.

Pengamalan dalam masyarakat umat Islam dalam negara kita yang berpaksikan nilai-nilai penghormatan terhadap golongan pendidik/guru adalah dijelmakan oleh fahaman barat, iaitu mereka diberikan hadiah tertentu walaupun pada masa yang sama para pelajar sebenarnya tidak bersetuju atau mengkritik guru-guru mereka atau mungkin juga berlaku biadap terhadap mereka, tindakan ini disifatkan menyalahi tuntutan ayat di atas yang sepatutnya mereka (pelajar) mendapat peringatan agar tidak meniru-niri gaya hidup masyarakat barat dan sebagainya.

Tetapi bagi menutup kesalahan dan kelemahan mereka, para pendidik/guru diraikan pada satu hari yang dikenali dengan 'hari guru', pelajar yang tidak menerima nasihat pun menghulurkan hadiah kerana inilah peluang bagi menyekat kemarahan atau kebencian guru terhadap mereka, pelajar yang datang dari keluarga berada walaupun tidak memiliki akhlak yang baik, mampu mengadiahkan gurunya pelbagai bentuk hadiah yang menarik, ini menyebabkan gurunya bias terhadapnya, rasa nak marah pun hilang dari mindanya.

Sedangkan pelajar yang benar-benar menepati ayat di atas tetapi kerana kemiskinan serta tidak mampu untuk menghadiahkan gurunya sebarang bentuk hadiah, dipinggirkan daripada minda dan sanubari guru, persoalannya di sini hadiah yang diterima oleh guru boleh disifatkan satu bentuk rasuah cara moden.

Inilah kejayaan musuh Islam bagi merenggangkan golongan pendidik/guru dengan para pelajarnya yang dihormati hanya pada satu hari iaitu "hari guru", sedangkan pada hari-hari yang lain mereka sudah tidak dihormati apatah lagi untuk melaksanakan arahan mereka untuk menjadi individu cemerlang, akibatnya mereka tidak sanggup untuk menegur atau memberi nasihat kepada para pelajar kerana disebaban hadiah yang diterima.

Akhirnya institusi pendidikan di kalangan umat Islam tidak mampu melahirkan individu-individu seperti Imam hanafi, Maliki, Syafie, Hanbali, al-Ghazali, Ibnu Sina dan ramai lagi.

Marilah kita sama-sama kembalikan maruah golongan pendidik/guru/ahli ilmu dengan menghormati mereka dengan bentuk yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w, iaitu mendengar nasihat mereka, mengenali serta melaksanakan segala ajaran mereka dan bukannya membenci mereka apatah lagi menyanggah mereka dengan tindakan yang tidak sepatutnya.


Terima kasih kepada penulis artikel, artikel tersebut boleh dibaca disini

5/07/2011

Kem Motivasi Fasa 1 2011

Objektif Program:

1. Membimbing dan menyedarkan pelajar tentang tanggungjawab mereka sebagai pelajar dalam membina ilmu pengetahuan.

2. Mewujudkan pelajar yang mempunyai azam dan iltizam untuk lulus dengan cemerlang dalam UPSR serta mempunyai ketrampilan dan kewibawaan sebagai pemimpin dalam kumpulan mereka.

3. Memberikan semangat dan kekuatan mentaliti dan emosi pelajar untuk menghadapi UPSR.

4. Memberikan pendedahan kepada murid mengenai peranan dan tanggungjawab sebagai anak dan pelajar.

5.Untuk memotivasikan murid bagi menghadapi peperiksaan san UPSR.

“KALAU BUKAN KITA SIAPA,KALAU BUKAN SEKARANG BILA?

Tahniah kepada semua yang telah memberikan kerjasama yang baik untuk menjayakan Kem Motivasi Fasa 1 ini. Semoga apa yang kita harapkan akan diterima oleh Allah dan diperkenankan, usaha yang kita lakukan merupakan langkah pertama untuk kejayaan anak-anak didik kita .




2/25/2011

Mesyuarat PIBG 2011

Mesyuarat PIBG 2011 antara AJK yang telah dilantik. YDP PIBG SK Sungai Nangka En Hanafiah Abdullah, mantan Pendidik Unggul, banyak pegalaman, seorang yang amat prihatin dan dedikasi, penyumbang idea bernas. Semoga dengan kepimpinan baru PIBG sekolah ini akan dapat digembelengkan mengikut acuan yang betul . Setelah sekian lama PIBG seakan-akan terkubur, dengan kepimpinan baru pihak sekolah berharap PIBG dapat digerakan dengan sewajarnya. Dengan adanya kerjasama antara Ibu bapa dan Guru diharapkan kecemerlangan sekolah akan dapat digapai. Kepada semua AJK yang telah dilantik diharapkan dapat memberikan kerjasama kepada YDP kita untuk kebaikan semua.

Pn.Junela Unsud( Penasihat PIBG)


YDP PIBG
En. Hanafiah Abdullah


AJK
Pn.Anizah md hajar dan Pn .Ismawani Tan Ahmad (setiausaha)







Ustz. Wan (AJK Agama)

En.Mohd Ali (AJK Keselamatan dan Sukan)


Tuan Abdullahship Abd Wahid (AJK Kebajikan)

2/15/2011

Rabiul Awal dan Maulidur Rasul

Bulan Rabiulawal bermaksud bulan dimana bermulanya musim bunga bagi tanaman. Mengikut kebiasaannya di Tanah Arab, sewaktu bulan Rabiulawal pokok buah-buahan mula berbunga dan seterusnya berbuah.

Maka nama bulan ini diambil sempena musim berbunga tanaman mereka. Dan setelah kedatangan Islam, Rasulullah saw telah mengekalkan nama Rabiulawal ini sehinggalah sekarang.

Membesarkan Maulidurrasul samalah seperti kita membesarkan Islam kerana Rasulullah (s.a.w) umpama simbol bagi agama Islam. Imam Mutawalli Sha'rawi telah menuli didalam kitab beliau, Ma'idat al-Fikr al-Islamiyya (ms. 295),"Jika setiap kejadian yang tidak bernyawa sekalipun, bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w) dan semua tumbuh-tumbuhan pun bergembira malahan semua binatang pun bergembira dan semua malaikat pun bergembira dan semua jinn Islam bergembira diatas kelahiran baginda (s.a.w), kenapa kamu menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w)?

Peristiwa-Peristiwa Penting Bulan Rabiul Awal

Ada banyak peristiwa penting yang telah dicatatkan oleh sejarah jatuh bangunnya tamadun Islam di dalam bulan Rabiulawal ini dan diantaranya ialah;

  1. Kelahiran junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Mengikut sumber-sumber mengatakan bahawa nabi lahir pada 12 Rabiul Awwal tahun gajah bersamaan 23 April 571M. Ini adalah sumber yang masyhur dan menjadi amalan umat Islam di Malaysia mengadakan sambutan Maulidurrasul pada 12 Rabiul Awwal di setiap tahun sehinggalah sekarang. Walau bagaimanapun ada sumber yang lain mengatakan bahawa nabi lahir pada 9 Rabiul Awwal tahun Gajah. Perbezaan pendapat ini akan disentuh lebih lanjut di bahagian Maulidur Rasul.
  2. Perlantikan Nabi menjadi Rasul. Dibulan Rabiulawal inilah Nabi saw diangkat menjadi Rasul. Ketika ini Nabi saw berumur 40 tahun. Maka dengan ini bermulah dakwah baginda secara rasmi di Makkah al-Mukarramah.
  3. Hijrah Tarikh hijrah adalah tarikh tibanya Rasulullah di Madinah al-Munawwarah pada ketika itu di sebut Yatsrib. Rasulullah sampai di Quba' pada hari Isnin 8 Rabiulawal dan Baginda sampai di Kota Madinah pada hari Jumaat 12 Rabiulawal dan Baginda menunaikan solat Jumaat yang pertama.
  4. Peperangan Banyak peperangan yang telah terjadi pada zaman Rasulullah saw diantara tentera Islam dan tentera kuffar. Diantara peperangan yang berlaku di bulan Rabiulawal ialah peperangan Safwan (Badar pertama), Bawat, Zi Amar (Ghatfan), Bani An-Nadhir, Daumatul Jandal dan peperangan Bani Lahyan.
  5. Wafatnya junjungan besar kita, Muhammad Rasulullah saw. Rasulullah telah wafat pada hari Isnin 12 Rabiulawal 11H bersamaan 7 Jun 632M. Baginda wafat di rumah isterinya Aisyah ra dan dikebumikan di Madinah al-Munawwarah.
  6. Abu Bakar ra. menjadi khalifah Pada hari Rasulullah wafat, para sahabat tidak mahu menangguh urusan pentadbiran kerajaan dan segera membai'ah saidina Abu Bakar ra di Dewan Bani Sa'idah. Ini adalah kerana urusan pentadbiran negara tidak boleh terhenti walau seketika dan ia adalah nadi sesebuah kerajaan. Sebahagian sahabat pula menguruskan pengkebumian jenazah Rasulullah saw yang diketuai oleh Saidina Ali ra Ahli Bait Rasulullah saw.
  7. Pembukaan Iraq Tentera Islam yang dipimpin oleh Khalid Ibni Walid ra telah memasuki Iraq dan bermulalah pemerintahan Islam di bumi Iraq di zaman saidina Abu Bakar ra.
  8. Pembukaan Baitul Muqaddis Salahuddin al-Ayubi telah memimpin tentera Islam menewaskan tentera Salib dan seterusnya membuka pintu bagi pembukaan Baitul Muqaddis pada tahun 583 H.
  9. Kejatuhan Empayar kerajaan Islam Sepanyol Kubu terakhir tentera Islam di Andalusia telah ditumbangkan oleh tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Ferdinando dan Isabella pada tahun 897H. Bermulalah kemusnahan tempat-tempat bersejarah warisan umat Islam, masjid-masjid ditukar menjadi gereja dan muzium dan tiada lagi suara azan di negara tersebut.
Maulidur Rasul (dalam bahasa Arab bermaksud kelahiran Rasul) adalah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari ini jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiul Awal sempena kelahiran Nabi yang jatuh pada pada Isnin ( Dari hadith riwayat Muslim, 8/25 ) 12 Rabiul Awal Tahun Gajah bersamaan dengan 23 April 571. Baginda adalah nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahu Wataala. Tapak kelahiran baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.

Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad s.a.w dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.

Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal salih.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahu Wataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah Subhanahu Wataala akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

Apakah sebenarnya yang perlu kita ambil iktibar atau pengajaran dari sambutan Maulidur Rasul ini. Ianya bukanlah semata-mata berarak kemudia masuk dewan, dengar ceramah, selingan nasyid dan balik kerumah masing-masing. Perkara pokok diatas sambutan ini ialah mengajak kita mengenali siapa nabi kita dengan lebih dekat. Contohi akhlaknya serta kegigihanya dalam menyibarkan syiar Islam.

Kewajiban Mengetahui Sirah dan Mencontohi Asas-asas Akhlaq Yang Baik

Kita disuruh untuk mengenali Nabi kita, tahu akan kehidupan baginda, mengenai mukjizat baginda, kelahirannya , akhlaqnya, keimanan baginda, tanda-tanda kenabian beliau (ayat wa dala'il), khalwat yang baginda lalui, ibadah baginda lagipun bukankah perkara-perkara ini sepatutnya diketahui oleh setiap Muslim? Apakah cara yang lebih baik lagi selain daripada meraikan hari kelahiran baginda, iaitu hari permulaan kehidupan baginda, dan seterunya supaya kita terdorong untuk mengenali baginda dengan lebih mendalam lagi. Memperingati hari kelahiran baginda akan membuka ruang bagi kita untuk memperingati perkara-perkara lain yang berkaitan dengan baginda. Apabila ini kita lakukan, Allah akan redha pada kita, kerana kita akan lebih bersedia untuk mengetahui sirah baginda dan lebih bersedia untuk mencontohi dan mengamalkan akhlaq baginda dan memperbetulkan kesilapan kita. Itulah sebabnya, kenapa sambutan hari lahir baginda merupakan satu rahmat buat kita semua.


1/08/2011

PROGRAM TRANSISI TAHUN SATU

Hari ini tamat program transisi tahun satu dengan temanya" Minda Cerdas, Mata Bercahaya". Murid-murid tahun satu pada tahun ini boleh dibanggakan juga kerana semuanya pernah mendapat didikan awal kanak-kanak samada di Pra Sekolah kerajaan atau kemas. Semoga program yang dilaksanakan tidak berkubur ditengah jalan. Komitmen semua guru yang mengajar tahun satu haruslah sentiasa teguh dan bersemangat. Jika mereka tercicir di awal ini, maka akan berlaku masalah nanti apabila dah naik ke kelas seterusnya.

Tahniah diucapkan kepada semua guru yang terlibat, semoga usaha yang kita lakukan ini mendapat ganjaran pahala dari-Nya.

Blog sekolah akan mula beroperasi semula bermula hari ini, mohon kerjasama semua guru untuk menyampaikan segala maklumat yang perlu jika ingin dikongsikan didalam blog sekolah.